LOKASI MENARIK DI BESUT TERENGGANU

Bukit Keluang

   

Bukit Keluang mempunyai tarikan tersendiri yang boleh memukau para pengunjung tempatan dan luar negara dengan keindahan dan keunikannya. Selain itu, para pengunjung ke Kuala Besut juga berpeluang untuk mendapat pengalaman menarik dari aktiviti-aktiviti pilihan tersendiri seperti memancing, bermain wau dan lain-lain lagi.
Tempat ini terletak 4 km dari Pekan Kuala Besut. Boleh dilawati melalui jalan darat sama ada teksi dari Kuala Besut atau Jerteh. Melalui jalan dari Kuala Besut ke Jerteh, terdapat sebuah pintu gerbang pada laluan tepi jalan untuk ke sana.
Pantai Bukit Keluang yang terletak kira-kira 19 km dari Bandar Jerteh juga merupakan salah sebuah Pusat Peranginan yang utama di daerah ini. Ianya juga sama sebagaimana pantai-pantai lain yang terdapat di Besut yang menjadi sumber tarikan semulajadi dan tersendiri dengan pasir pantai yang bersih dan bukit yang tersergan megah itu.
Disini, terdapat banyak kemudahan seperti rumah rehat, restoran, tandas awam, wakaf untuk berehat dan lain-lain lagi. Kehijauan hutan yang belum terusik mendamaikan mata yang memandang. Pantainya yang bersih dan lautan yang kebiruan selain keindahan pulau-pulau kecil yang boleh dilihat dari kejauhan, menjadikan destinasi pelancongan ini begitu terkenal bagi para pengunjung.
Keindahan tempat ini juga menjadi tarikan bagi mereka yang melakukan aktiviti penggambaran filem ataupun drama televisyen. Tidak sah sekiranya berkunjung di sini tanpa menikmati pemandangan indah dari puncak tangga Bukit Keluang.
Pondok-pondok kecil dibina untuk memudahkan orang ramai untuk berehat sambil menghirup udara segar disini.
Gunung Tebu


Gunung Tebu merupakan sebuah gunung yang terdapat di Negeri Terengganu, Malaysia. Gunung Tebu mempunyai ketinggian 1,039 meter dan Gunung Tebu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan, keindahan Pulau Perhentian dapat dilihat dari Puncak Gunung Tebu jika tidak berkabus tebal.
Keunikan Gunung Tebu ialah di puncaknya terdapat sebuah kubur dan tempat yang menjadi pilihan pesilat-pesilat untuk bertapa. Lokasi Gunung Tebu terletak di Hutan Lipur Lata Belatan iaitu 24 km dari Pekan Jertih melalui Jalan Raya Kuala Terengganu-Jertih, 118 km dari Kuala Terengganu. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Permaisuri atau Pekan Jertih. Dari Pekan Jertih, kita terus menuju ke Kampung Jabi untuk ke Hutan Lipur Belatan.
Hutan Lipur Lata Belatan, adalah titik permulaan untuk mendaki Gunung Tebu. Di sini terdapat resort dan pondok Jabatan Hutan. Setiap pendaki perlu mendaftarkan diri di pondok berkenaan sebelum memulakan pendakian. Setiap orang dikenakan bayaran sebanyak RM5 sebagai permit mendaki.
Disini juga para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkhemah dan bersiar-siar. Antara kemudahan lain yang disediakan ialah gerai-gerai, astaka serta dilengkapi dengan kemudahan elektrik.
Kolam Air Panas La


Kawasan air hangat ini terletak di pendalaman Hulu Besut kira-kira 28 km dari Bandar Jertih Terengganu. Pusat Pelancongan ini atau lebih dikenali dengan panggilan La Hot Spring telah dibuka kepada orang ramai sebagai tempat pelancongan pada tahun 1992 sempena perlancaran Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut.
Pusat rekreasi ini sebenarnya sudah lama wujud dan dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap hujung minggu dan cuti am untuk menikmati keindahan alam semulajadi.
Pengunjung berpeluang melihat air hangat yang keluar menerusi lubang dari sebuah bukit dan terus mengalir ke dalam kolam yang disediakan.
Air hangat yang mengalir ini mengandungi kimia "SULFUR" atau belerang dengan kehangatannya mencapai 49 darjah celsius. Ianya berkhasiat untuk mengubati penyakit kulit dan juga boleh dimandi. Di sini juga terdapat Wadding Pool bekas air hangat (thermos).
Selain itu, air hangat buatan juga dibina selain kolam seperti spa bagi memudahkan orang ramai untuk menikmati kehangatan air hangat buatan ini secara persendirian. Di sini, pengunjung yang datang tidak pernah berkurang kerana setiap masa dikunjungi. Tarikan utama adalah air hangat semulajadi yang menjadi kepercayaan masyarakat yang dapat menyembuhkan penyakit selain mendapatkan kesegaran tubuh badan.
La Hot Spring juga menyediakan banyak kemudahan untuk orang ramai seperti rumah rehat, musalla, tandas awam, restoran dan lain-lain lagi.
Lata Belatan


Lata Belatan terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tebu dalam kawasan Pentadbiran Hutan Terengganu Utara.Ianya merangkumi kawasan seluas 20 hektar dan terletak kira-kira 15 kilometer ke selatan bandar Jerteh atau 103 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.
Bagi tujuan keindahan semulajadi, seluruh kawasan dalam kompatmen 49 dan 50 dengan keluasan lebih kurang 403 hektar yang meliputi kawasan hutan lipur ini telah dikekalkan. Hutan lipur telah dimajukan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 1985.
Kawasan Hutan lipur Lata Belatan terdiri dari hutan asli jenis hutan Pamah Diptercorp. Ianya kaya dengan pokok-pokok jenis Diptercarp seperti Meranti dan Keruing yang melebihi 50% daripada komposisi hutan. Jenis-jenis bukan Diptercorp yang terdapat disini ialah Nyatoh, Kelat, Mersawa, Rengas, Kedondong dan lain-lain.
Manakala dikawasan berbukit tinggi menghala ke puncak Gunung Tebu, terdiri daripada jenis Meranti, Balau Laut Merah. Dikawasan lereng-lereng bukit yang curam jenis-jenis yang lazim terdapat disini ialah Meranti Seraya, campuran Meranti Keruing dan juga sedikit jenis konifer seperti Podo dan Damar Minyak.
Pembangunan Hutan Lipur Lata Belatan adalah berdasarkan pengurusan berkekalan dimana pembangunan yang dilaksanakan adalah berharmoni dengan alam sekitar. Konsep pembangunan yang bersesuaian dengan kawasan ini ialah "Forest Camping Holiday".
Bagi mengekalkan keindahan semulajadi dan kejernihan air yang mengalir, 49 dan 50 dengan keluasan 403 hektar telah kekal di bawah pengelasan Hutan Rekreasi.
Diantara aktiviti-aktiviti yang dapat dilakukan disini ialah berehat sambil menikmati suasana keindahan alam semulajadi, berkelah secara bersendirian, bersama keluarga atau berkumpulan, berkhemah dan merentas hutan (jungle tracking).
Bagi mereka yang ingin cabaran dan merasai suasana pengembaraan hutan yang lebih bermakna, bolehlah mendaki ke puncak Gunung Tebu dengan ketinggian 1,097 meter dari aras laut. Pendakian ini mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai kepuncaknya. Keadaan cuaca yang sejuk dengan persekitaran tumbuh-tumbuhan gunung yang berbagai jenis serta pemandangan yang menarik menambahkan lagi keunikan kawasan ini.
Kemudahan yang disediakan disini ialah gerai makan, tandas awam, surau, pondok rehat, jambatan gantung, pondok pengawal dan tapak perkhemahan.
Lata Tembakah


Terletak di Hutan Simpan Pelagat dalam Daerah Besut. Ianya merangkumi kawasan seluas 300 hektar dan terletak kira-kira 24 km dari Jerteh dan 130 km dari Bandar Kuala Terengganu.
Kawasan hutan lipur ini mula dimajukan dalam tahun 1987 dan menjadi tarikan pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negeri disebabkan oleh beberapa keistimewaan yang terdapat disini seperti tumbuh-tumbuhan semulajadi, sungai yang bersih, air terjun yang menarik dan kolam-kolam semulajadi yang sangat sesuai untuk tujuan untuk perkelahan bersama keluarga.
Di sini amat popular sebagai destinasi untuk menjalankan aktiviti perkhemahan. Setiap hujung minggu ataupun cuti sekolah, tempat ini tidak pernah sunyi kerana sentiasa dihidupkan dengan kem kesedaran bina insan, jati diri,pengakap, kadet polis dan lain-lain lagi.
Lata Tembakah menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk setempat malah mereka yang tinggal di luar kawasan Besut. Jambatan gantung yang disediakan selain air terjun dan batu batan yang cantik sememangnya cukup menyejukkan mata yang memandang.
Pantai Air Tawar


Secara amnya tarikan pantai merupakan sumber aktiviti pelancongan yang utama di Daerah Besut. Antara pantai-pantai sedia ada yang menjadi tumpuan pelancong dan pelawat ialah Pantai Air Tawar, Pantai Bukit Keluang dan Pantai Dendong.
Antara aktiviti yang dijalankan di pantai-pantai tersebut adalah seperti perkelahan, mandi-manda dan bersiar-siar di persisiran pantai. Kawasan peraginan ini sebenarnya sudah lama wujud dan sentiasa dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap petang dan hujung minggu ataupun pada musim cuti.
Di sini terdapat kemudahan seperti hotel, chalet, pondok telefon, gerai-gerai makanan, taman permainan kanak-kanak dan lain-lain.
Pada setiap tahun kawasan peraginan ini sentiasa diadakan Pesta Kebudayaan dan Kesenian bagi menyambut kedatangan para pelancong kesini.
Pantai Air Tawar terkenal dengan keindahan pantainya dan tidak begitu asing lagi bagi penduduk setempat. Dengan kemudahan yang ada, ia kerap menjadi destinasi percutian keluarga selain menjadi tempat pilihan untuk menjalankan aktiviti kebudayaan dan sebagainya. Kemudahan astaka yang disediakan memudahkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan.

 
Pantai Dendong


Pantai Dendong sebagai Bandar Bistari yang melibatkan kawasan seluas 1,600 hektar dalam keadaan semulajadi serta kedudukan yang strategik dalam lingkaran pelancongan persisiran pantai.
Komponen warna kehijauan dedaun dengan warna keemasan pepasir sudah cukup untuk menenangkan jiwa yang menikmatinya. Disini juga terdapat sebuah bukit yang amat menarik pandangan pelancong. Di sini, turut disediakan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. Keindahan pantainya amat mengasyikkan sesiapa sahaja selain masih mengekalkan kehijauan.
Selain Pantai Air Tawar, Pantai Dendong juga menjadi destinasi percutian ataupun beriadah bersama-sama keluarga dihujung minggu. Sementelah jarak antara kedua-dua destinasi perkelahan ini tidak jauh dan mempunyai tarikan masing-masing.
Pulau Perhentian


Latarbelakang
Pulau Perhentian terletak lebih kurang 10.8 batu nautika (20 km) ke Timur Laut Kuala Besut. Pulau ini terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Besut.
Gugusan Pulau Perhentian merangkumi:
a) Pulau Perhentian Besar
b) Pulau Perhentian Kecil
c) Pulau Susu Dara dan pulau-pulau kecil yang lain.
Keluasan keseluruhannya adalah 1, 392.15 hektar. Terdapat kawasan pantai berpasir yang agak luas walaupun secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berbukit dan tebing di mana boleh mencapai setinggi 70 km hingga 300 km.
Kemudahan Awam Dan Infrastruktur
Hampir kesemua kemudahan awam terdapat di kawasan penempatan penduduk iaitu di Pulau Perhentian Kecil. Antara kemudahan yang disediakan ialah tadika, sekolah rendah, masjid, balairaya, pondok polis, klinik kesihatan, wakil pos, bomba rakyat, kawasan perkuburan, kedai Mara 2 tingkat dan perkedaian.
Kemudahan lain yang disediakan ialah Jeti awam di Teluk Pauh, Teluk Keke dan Jeti Utama di kawasan perkampungan. Bersesuaian dengan status perairan Pulau Perhentian sebagai Taman Laut pula, Jabatan Perikanan telah membina sebuah Pusat Taman Laut bagi menempatkan kakitangan untuk mengawal pengairan di samping menyedia kemudahan informasi.
Keadaan Semasa
Gunatanah Utama Pulau Perhentian ialah penempatan pelancongan dan kawasan hutan. Terdapat hanya sebuah kawasan penempatan iatu di kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Kawasan penempatan ini seluas 9.87 hektar. Penempatan ini telah telibat dengan Program Penyusunan Semula Kampung nelayan Tradisional. Melalui program ini, pembinaan rumah dilaksanakan secara lebih teratur. Jumlah penduduk di Pulau Perhentian ialah kira-kira 1,300 orang dengan hampir 80% terlibat dengan sektor pelancongan, 20% di sektor awam dan perniagaan runcit.
Kawasan-kawasan pelancongan tertumpu di sekitar Teluk Pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk dalam di Pulau Perhentian Besar, manakala di Pulau perhentian Kecil tertumpu di Pasir Panjang, Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur.
Sebahagian besar di kedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesis pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut, Kelat Laut dan Rhu.
Laut di sekitar pulau pula terdapat batu karang terutamanya di Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas laut, Teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Mengikut kajian yang dijalankan, lima puluh spesis batu karang telah ditemui di sekitar Pulau Perhentian. Di sesetengah tempat pula boleh didapati dua puluh jenis batu karang lagi setiap 200 meter persegi kawasan laut.
Selain itu enam pantai berpasir di Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan Penyu Karah dan Penyu Agar bertelur iaitu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil juga di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu di Pulau Perhentian Besar. Terdapat juga spesis burung layang-layang (Walet) yang membuat sarang burung di gua-gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya.
Bekalan Air
Punca utama bekalan air di Pulau Perhentian adalah dari air bawah tanah iaitu dari Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar. Perkhidmatan bekalan air SATU hanya tertumpu di kawasan petempatan di Pulau Perhentian Kecil. Bagi pusat-pusat pelancongan lain mendapat bekalan air dari bawah tanah di sekitar kawasan masing-masing. Secara keseluruhan bekalan air tidak mencukupi terutama di musim kemarau.
Bekalan Elektrik
Bekalan elektrik TNB juga hanya terdapat di kawasan petempatan di Pulau Perhentian Kecil dengan perkhidmatan 24 jam. Bagi kawasan pelancongan, bekalan elektrik adalah menggunakan "Janakuasa Persendirian" dan kebanyakannya tidaka dapat menyediakan bekalan elektrik 24 jam.
Sistem Pengangkutan
Sistem pengangkutan laut dengan bot adalah nadi utama pengangkutan di antara Pulau Perhentian dan Tanah Besar. Terminal jeti pelancongan utama di Tanah Besar terletak di Kuala Besut. Terminal yang bernilai hampir RM 3 juta ini mula beroperasi pada awal tahun 1998 untuk kemudahan pelancong untuk menunggu dan menaiki bot, kaunter tiket, menjual barang-barang kraftangan, kedai makan dan sebagainya.
Perhubungan jalan darat antara petempatan dan kawasan pelancongan ialah laluan pejalan kaki melalui denai yang sememangnya menjadi kegemaran pelancong luar negeri merentasinya. Selain itu terdapat juga bot kecil yang dipanggil 'teksi' digunakan untuk membawa penumpang ke lokasi pelancongan.
Pelupusan Sampah
Majlis Daerah Besut mula mengadakan khidmat pungutan sampah mulai tahun 1997. Pemborong yang dilantik memungut sampah di kawasan petempatan dan pelancongan seterusnya dibawa ke Tanah Besar untuk dilupuskan di tapak pelupusan sampah. Kerja-kerja pengutan sampah ini beroperasi daripada bulan Februari hingga Oktober setiap tahun.
Potensi Pelancongan
Terdapat lebih kurang 1,000 buah bilik penginapan dari 42 buah pengusaha chalet dan resort dalam pelbagai kategori termasuk Pusat Peranginan Mewah, Chalet bertaraf sederhana dan rendah, Dorm serta kawasan perkhemahan dengan kadar sewa antara RM 50 hingga RM 300 sehari.
Kejernihan air laut serta kepelbagaian hidupan marin selain daripada kesesuaian tempat menjadikan pusat pelancongan ini popular dengan aktiviti-aktiviti snorkeling, soating, perkhemahan dan melihat penyu bertelur.
Keaslian dan keindahan alam sekitar semulajadi yang belum terjejas seperti laut daratan, pasir dan batu, gua, bukit-bukit, hutan dan tumbuhan semulajadi memungkinkan pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti jungle tracking, penyelidikan dan sebagainya.
Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan pelancong untuk aktiviti scuba diving dan sijil yang dikeluarkan adalah diiktiraf di peringkat dunia.
Penglibatan aktif sama ada secara langsung dan tidak langsung penduduk tempatan dalam industri pelancongan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Pulau Perhentian dan secara tidak langsung menggerakkan aktiviti-aktiviti hiliran dalam sektor perkhidmatan di pulau ini.

Desa Ukiran Kayu


Pembinaan Desa Ukiran Kayu (Duk) Adalah Manifestasi Kepada "Besut Daerah Ukiran Kayu" Yang Telah Di Istiharkan Pada 12 Ogos 1999 Iaitu Sebagai Pengiktirafan Ke Atas Pengukir - Pengukir Kayu Yang Tersohor Di Daerah Besut Seperti Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim Bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999) Hj Wan Su Bin Othman (Tokoh Seni Negara 1997) Abd.Rahman Long , Wan Mustaffa Wan Su (Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003, Adiguru Kraf 2007) Dan Norhaiza Bin Nordin.

Desa Ukiran Kayu Di Bina Di Kawasan Istana Tengku Long Yang Di Bina Oleh Tengku Chik Haji Bin Tengku Hitam , Raja Besut Ke Empat Pada Tahun 1875.
Istana Ini Di Bina Dengan Di Hiasi Oleh Ukiran Kayu Yang Menarik Dan Mengagumkan.

Desa Ukiran Kayu Ini Merupakan Senibina Rumah - Rumah Baru Dan Lama Yang Mengekalkan Senibina Tradisional Untuk Pusat Dinamik Perusahaan Kraftangan Terutamanya Seni Ukiran.Desa Ukiran Kayu Ini Di Bina Pada Awal Tahun 2005 Dan Siap Pada Bulan Jun 2007 Serta Dibuka Dengan Rasminya Pada 21 Februari 2008.

Desa Ukiran Kayu


Kedudukan Desa Ukiran Kayu (DUK) Istana Tengku Long Berada Di Sebelah Dalam Perkampungan Kg.Raja Lama Iaitu Kawasan Pekan Kg.Raja Besut Terengganu.
Keluasan Desa Ukiran Kayu : 3,500 Meter Persegi

Jarak Duk Dari Bandar Kuala Terengganu : 100 Km.

Nama – Nama Rumah Tradisional Atau Bangunan Yang Berada Di Desa Ukiran Kayu :

1 ) Rumah Potong Belanda
2 ) Rumah Limas Bungkus
3 ) Rumah Bujang Berserambi Selasar

Aktiviti Desa Ukiran Kayu ( Duk ) Istana Tengku Long 

Antara Aktiviti Harian Duk Sepanjang Hari Yang Bermula Seperti Biasa Waktu Pejabat Dari Jam 8 .00 Pagi Hingga Ke 5.00 Petang.Seramai 20 Orang Pelatih Lepasan Pendidikan Spm Yang Terdiri Daripada Anak Watan Terengganu Yang Sedang Giat Menjalani Kursus Latihan Kraf Warisan Seni Ukiran Melayu Selama Setahun.

Dibiayai Sepenuhnya Oleh Kerajaan Negeri Terengganu Melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Dengan Di Pantau Dan Di Uruskan Oleh Profesor Madya Sulaiman Abd.Ghani Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu International Design Excellence (Tide) Yang Berpengalaman Tinggi Dan Luas Di Bidang Seni Bertindak Menjana Kemajuan Dan Kecemerlangan Memperkenalkan Duk Samada Di Peringkat Daerah Besut, Negeri Terengganu Dan Luar Negara.

Manakala Tenaga Pengajar Yang Berkemahiran Maju Dalam Bidang Seni Ukiran Kayu Iaitu En. Che Hami Hamzah Bertindak Selaku Tenaga Pengajar Tetap Kepada Pelatih – Pelatih Yang Mengikuti Kursus Tersebut Di Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long Yang Sebelum Ini Telah Berkemahiran Mengajar Di Bidang Kraf Seni Ukiran Melayu Di Institut Kraf Negara Malaysia Selama 7 Tahun.

 MASJID HADHARI JERTIH

masjid ini menjadi mercu tanda bandar Jertih. Masjid ini dibina berasaskan senibina dari timur tengah. cukup indah untuk di ziarahi. menggunakan lif untuk naik ke tingkat atas tempat solat lelaki.

MASJID KAYU SEBERANG JERTIH
 Masjid baru yang dibina berunsurkan bahan-bahan dari kayu 100 peratus begitu juga peralatan dan perabot. Kalau datang ke bandar Jertih jangan lupa singgah di masjid ini untuk bersolat. Rasanya hanya satu sahaja di Malaysia ini masjid buatan kayu sepenuhnya.



Ulasan